Thursday 2 May 2013

Teori Membaca



Dalam kemahiran membaca terdapat beberapa teori membaca yang digunakan bagi membantu pembaca dalam memahami proses pembacaan. Teori membaca ini terbahagi kepada tiga teori iaitu :
·         Teori memindahkan maklumat
·         Teori membaca secara automatik
·         Teori kecekapan verbal

Teori Memindahkan Maklumat

Teori memindahkan maklumat diperkenalkan berdasarkan pandangan yang telah dikemukakan oleh La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985). Teori ini turut dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab dalam menyatakan aktiviti membaca ini merupakan satu proses pemindahan maklumat daripada bahan bacaan kepada minda kita. Selain itu, tokoh-tokoh ini juga turut memberi andaian bahawa aktiviti membaca adalah proses dalam mengenal huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Bagi mereka, pembaca akan berinteraksi dengan teks bagi mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya atau mindanya. Dalam melakukan interaksi ini, pembaca memerlukan satu kemahiran yang khusus bagi membolehkan proses pemindahan maklumat kepada pemikirannya. Dalam teori memindahkan maklumat ini juga menyatakan bahawa aktiviti membaca dilakukan bertujuan untuk membentuk peningkatan dalam kebolehan pembaca memindahkan maklumat daripada teks yang telah dibaca. Pembaca yang baik akan lebih efisien ketika membuat pemindahan maklumat, tetapi bagi pembaca yang lemah pula tidak akan mampu untuk berbuat sedemikian.

Teori Membaca Secara Automatik

Teori membaca secara automatik ini turut diperkenalkan oleh La Berger dan Samuel (1974). Dalam teori ini menganggap bahawa akan wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca sekiranya pembacaan dilakukan secara automatik. Teori membaca ini berbeza di antara proses bersifat automatik dengan proses kawalan ketika membaca. Melalui latihan membaca, pembaca akan mudah untuk mengenal huruf dan seterusnya dapat menguasai setiap perkataan secara automatik. Di samping itu, teori membaca secara automatik ini turut meramalkan akan wujud hubungan yang positif di antara kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang telah dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik akan berupaya dalam mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih memahami teks yang dibaca. Ketika membuat pembacaan teks, pembaca perlu memberi penekanan terhadap pengawalan eksekutif agar mereka dapat memahami teks dengan lebih berkesan.

Teori Kecekapan Verbal

Teori kecekapan verbal ini telah diperkenalkan oleh Perfetti (1985, 1988). Teori kecekapan verbal ini lebih menekankan kepada kemahiran membaca dengan meluaskan proses pembacaan dengan mentafsir kod bacaan. Selain daripada membuat bacaan secara automatik untuk menguasai bahasa, aspek lain seperti penggunaan anafora dalam teks, membuat cadangan atau kenyataan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. Berdasarkan teori verbal, setiap pembaca akan mempunyai profil yang tersendiri bagi mengusai pembacaan secara verbal. Dalam teori ini turut memberi penjelasan berkaitan pemahaman terhadap bahan bacaan dan bagi pembaca yang tidak cekap akan lebih mudah lupa akan perkara yang sudah dibacanya. Mereka yang tidak cekap dalam pembacaan ini disebabkan oleh kekurangan pengetahuan terhadap teks yang dibaca dan keadaan ini sekali gus akan menyebabkan mereka sukar untuk memahami apa yang dibaca.

Belajar Membaca

Belajar merupakan suatu perubahan tingkah laku yang dilakukan dalam mencapai satu tujuan yang tertentu. Mengikut pendapat seorang tokoh iaitu Marohaini Yusoff (1989), merumuskan bahawa proses belajar membaca ini sebagai satu perlakuan yang kompleks dan sukar untuk diperhatikan. Terdapat dua asas kemahiran yang utama dalam belajar membaca ini iaitu kemahiran untuk mengenal huruf, mengenal perkataan dan juga kemahiran dalam memahami apa yang mereka baca. Bagi perlakuan dalam belajar membaca menekankan kepada kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran dalam memahami apa yang telah dibaca. Pada awal pembelajaran untuk membaca, pembaca akan didedahkan dengan kemahiran mengenal dan mengecam setiap perkataan yang dibaca dan kemudian barulah mereka akan cuba untuk memahami apa yang mereka baca.
Semasa proses di awal belajar membaca, pembaca perlu mengenal setiap huruf dan perkataan yang terdapat dalam teks bacaannya. Apa yang paling penting adalah pembaca hanya perlu pandai untuk menyebut setiap perkataan yang dibaca sahaja terlebih dahulu sebelum berpindah kepada pemahaman terhadap bahan bacaan. Pembacaan secara berulang akan meningkatkan lagi mutu bacaan mereka dan cara penyebutan perkataan juga turut tepat dan betul. Hal ini penting bagi melahirkan mereka yang lancar dalam pembacaan dan akan memudahkan mereka dalam memahami keseluruhan teks yang telah dibaca pula. Pembaca perlu memulakan pembacaan dengan menyebut setiap satu suku kata perkataan dengan tepat sebelum menyebut satu perkataan secara penuh. Sebagai contoh untuk menyebut perkataan “saya” akan disebut satu suku kata satu suku kata iaitu “sa” “ya” dan kemudian baru sebut penuh “saya”. Pembelajaran bacaan seperti ini akan mudah memahirkan pembaca dalam membaca sesuatu teks. Belajar membaca adalah secara berperingkat-peringkat barulah mudah lancar dalam pembacaan dan memahami teks.
Belajar membaca seterusnya adalah cuba untuk memahami teks yang dibaca. Setiap teks yang telah dibaca perlu difahami oleh setiap pembaca agar apa yang dibaca mendapat hasil pada dirinya dan bukan sahaja sia-sia iaitu membuat pembacaan tapi tidak mendapat apa-apa pengetahuan dalam teks tersebut. Setiap ayat yang terdapat dalam teks perlu difahami secara mendalam selepas selesai sesi mengenal huruf dan lancar dalam pembacaan. Memahami apa yang dibaca merupakan sesuatu yang penting kerana dari pembacaan dan faham apa yang terkandung di dalamnya akan membantu pembaca untuk mencari isi-isi penting yang terdapat dalam teks dan dapat mentafsir maksud yang tersirat dalam teks tersebut. Hal ini demikian kerana dalam setiap teks yang kit abaca akan menggunakan bahasa kiasan yang memerlukan pemahaman kita untuk memahami apa yang dimaksudkan dalam teks tersebut.
Seterusnya, belajar membaca teks juga adalah mengenal dan mengecam lambang-lambang perkataan yang dilihat dalam teks dan membuat perkaitan lambing yang ditunjukkan dengan bunyi atau makna yang tertentu. Sebagai contoh dalam ayat yang dibuat dalam bentuk fonologi akan banyak menggunakan lambang-lambang yang tertentu dan ini akan menyukarkan pembaca untuk memahami maksud teks. Di sinilah amat penting untuk belajar membaca dalam mengenal istilah-istilah yang khusus bagi lambang huruf fonologi. Mengenal bunyi adalah satu cara belajar membaca secara lebih sistematik. Bacaan akan menjadi lebih tepat dari segi sebutan bunyinya dan tidak akan keliru dengan bunyi perkataan dengan perkataan lain. Hal ini penting kerana terdapat perkataan yang mempunyai bunyi huruf yang sama dan melalui pembelajaran membaca bunyi fonologi akan dapat membuatkan pembaca tahu untuk membezakan setiap bunyi huruf tersebut.   
.