Friday 3 May 2013

Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


Pendekatan mengajar membaca yang sesuai perlu digunakan oleh guru bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran membaca. Pendekatan yang sama tidak boleh digunakan untuk semua individu dan peringkat umur. Pemilihan bahan tersebut hendaklah bersesuaian mengikut tahap kebolehan membaca,  jenis teks dan juga pengalaman membaca murid.

a.      Pendekatan Holistik

Pendekatan ini baru sahaja diperkenalkan di Malaysia sebagai suatu pendekatan yang digunakan dalam mengajar membaca terutama membaca bahasa Melayu. Prinsip pendekatan ini ialah :

·         Murid-murid bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran membaca tetapi juga menikmati bahan bacaan tersebut.
·         Pendekatan ini diperkenalkan kerana rakyat Malaysia didapati mempunyai tahap kebolehan membaca yang tinggi tetapi tidak mempunyai minat membaca yang menggalakkan.

Kaedah membaca yang terlibat:
                 i.        Kaedah membaca bebas
               ii.        Kaedah menelaah
              iii.        Membaca senyap
             iv.        Kaedah meringkas dan bertindak balas

b.    Pendekatan Pengajaran Membaca Asas

Pendekatan ni meliputi beberapa aktiviti yang melibatkan kemahiran membaca yang biasa. Aktiviti yang dilakukan melibatkan pelbagai situasi pembacaan seperti berlakon,  dialog,  mencari maklumat dan sebagainya. Pendekatan asas membaca menekankan kesinambungan pengulangan serta mengulangkaji pembelajaran yang telah diajar sebelumnya. Penambahan maklumat terhadap apa yang telah dipelajari meningkatkan lagi penguasaan kemahiran membaca murid.

Guru perlu memberi pendedahan tentang pola perbendaharaan kata dan ejaan kepada murid secara sistematik. Pengenalan perkataan serta elemen-elemen perkataan kepada murid perlu dikawal dari segi jumlah mengikut kesesuaian tahap kebolehan murid menguasai kemahiran membaca.
Kaedah pengajaran membaca asas

     i.        Pengajaran perkembangan kemahiran

Beberapa perkataan ditulis di papan hitam. Guru membulatkan perkataan yang mempunyai sebutan yang sama.
    ii.        Pelajaran membaca terarah

Terbahagi kepada beberapa cara:

a.    Motivasi
b.    Persediaan latar belakang
c.    Menetapkan tujuan
d.    Membaca semula secara senyap atau lisan secara terarah
e.    Tindak balas dan perluasan

c.     Pendekatan Teknologikal

Berdasarkan pendekatan ini,  unsur utama yang ditekankan ialah keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa akan datang. Pendekatan ini menitikberatkan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan dibuktikan melalui kebenaran. Pendekatan ini turut merujuk kepada :
     a.    Sistem membaca berdasarkan objektif
     b.    Program berdasarkan kriteria
     c.    Membaca berdasarkan kecekapan
     d.    Sistem pengurusan kemahiran
     e.    Membaca berdasarkan perspektif diagnostik

Bahan dan kandungannya terdapat dalam empat komponen berikut :
     1.    Objektif tingkah laku
     2.    Ujian kriteria bagi setiap objektif
     3.    Strategi pengajaran
     4.    Sistem penyimpanan rekod

d.     Pendekatan Kolaboratif

Berlaku dalam kumpulan yang besar yang terdiri daripada empat hingga lima orang pelajar. Pendekatan ini merujuk kepada kumpulan besar yang belajar bersama-sama bagi mencapai suatu matlamat yang dikongsi bersama.

         Memberi fokus pada aspek makna dari teks yang dicetak bagi konteks penguasaan membaca. Tumpuan ini dilakukan bagi membolahkan pelajar mengetahui makna ayat yang digunakan. Pelajar dikehendaki meneliti perkataan yang digunakan untuk meningkatkan penguasaan membaca. Penekanan turut diberikan kepada respon yang ditunjukkan oleh pelajar. Perbincangan secara lisan diwujudkan bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dengan cepat secara kolaboratif.

          Pendekatan ini memberi penekanan terhadap pemahaman literal dan pengecaman perkataan. Pada akhir pengajaran,  pelajar dapat memahami teks yang dibaca melalui pembacaan secara literal dan pengecaman teks yang memberikan makna keseluruhan ayat. Semasa melaksanankan teknik ini,  semua sumber yang diperoleh ditumpukan kepada pembaca. Kaedah yang digunakan lebih menjurus kepada penggunaan pengalaman bahasa pelajar

Cara pelaksanaan melibatkan beberapa langkah seperti berikut :

1.     Memilih petikan teks yang sesuai
2.    Guru dan pelajar berbincang
3.    Membaca teks secara mekanis
4.    Menyoal pelajar dengan soalan berbentuk terbuka                             
5.    Pelajar membaca bagi kali kedua


No comments :

Post a Comment